SEJARAH DAERAH MARAN
Daerah Maran adalah merupakan Daerah ke 10 daripada 11 Daerah di dalam Negeri Pahang Darul Makmur. Pengisytiharan pengujudan Daerah Maran telah dibuat melalui Watikah Perisytiharan Daerah Maran yang telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Pahang Jd. 34 Bil.14 pada 13 Mei 1981.Sebelum pengisytiharan itu Daerah Maran terletak sebahagian daripada Daerah Temerloh dan sebahagian lagi Daerah Pekan. Pejabat Daerah Dan Tanah Maran pula ditubuhkan pada 23 Mei 1981 dengan Pegawai Daerah yang pertama ialah En. Ariffin bin Yusoff @ Yusoh. Keluasan Daerah Maran ialah 1917 kilometer persegi. Maran mempunyai hasil pertanian, perternakan, dan macam-macam lagi untuk kemudahan penduduknya.
Menurut sumber yang diperolehi daripada arkib simpanan Majlis Daerah Maran, nama Maran berasal dari nama sebuah sungai kecil yang mengalir dari Hulu Teladas ke Ulu Kampung Luit. Walaubagaimanapun, menurut cerita dari seorang batin orang asli yang bernama Batin Tawang bin Isa yang tinggal di Kampung Merbau berhampiran Kampung Serengkam, nama Maran itu berasal dari cerita dahulukala dimana kira-kira tujuh orang asli sedang bermalam ditepi sebuah sungai (sungai Maran sekarang).
Sedang mereka tidur, mereka telah dikejutkan oleh satu lembaga yang dikatakan adalah jelmaan harimau jadian. Enam dari orang asli itu berjaya melarikan diri dan meninggalkan seorang dari sahabatnya bersama-sama dengan lembaga itu. Tetapi lembaga itu tidak mengapa-apakan orang asli itu tetapi membahasakan dirinya sebagai ‘Maran’ atau ‘Sahabat’ serta menyuruh orang asli tadi menuruti sahabat mereka semula dengan menyusur sungai. Dalam perjalanan menyusur sungai inilah orang asli tadi menggelarkan sungai itu dengan nama Sungai Maran.
(Sumber: http://pdtmaran.pahang.gov.my)
Peta Daerah Maran
Keluasan Daerah Maran : 1917 kilometer persegi
(sumber: www.mdmaran.gov.my)
SEJARAH JENGKA
Jengka dibuka secara rasmi pada 1967. Jengka ditubuhkan melalaui satu projek iaitu Segitiga Jengka oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Wilayah Jengka merupakan penempatan FELDA terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Wilayah Jengka juga dikenali sebagai Segitiga Jengka kerana kedudukannya meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran. FELDA Wilayah Jengka membentuk kawasan tiga segi antara tiga daerah di Pahang iaitu Maran, Jerantut dan Temerloh berkeluasan 64,117.05 hektar. kawasan pertanian dan 4,924.98 hektar. Sebanyak 37 buah rancangan berpeneroka diurustadbir oleh Wilayah ini iaitu dari FELDA Jengka 1 hingga Felda Jengka 25, FELDA Kota Gelanggi 1 hingga FELDA Kota Gelanggi 4, FELDA Kg. Awah, Sg. Tekam, Sg. Tekam Utara, Bukit Tajau, Sg. Nerek, Ulu Jempol , Sg. Retang dan FELDA Padang Piol.
Secara umumnya nama Jengka diambil daripada sebatang sungai yang mengalir di dalam kawasan Jengka iaitu Sungai Jengka. Terdapat dua pendapat yang menceritakan asal usul nama ‘Jengka’ iaitu:
MITOS 1
Diceritakan tinggal sepasang suami isteri Orang Asli yang tinggal di sebuah teratak behampiran dengan sebatang sungai yang mengalir deras. Si suami memang bijak memburu, lantaran seharian beliau keluar mencari rezeki. Manakala si isteri pula, sambil menunggu kepulangan suaminya, bertenun kainlah sepanjang hari. Adapun alat yang digunakan oleh isterinya dipanggil jangka . Entah bagaimana pada suatu hari jatuhlah jangka itu ke dalam air, menangislah si isteri sehingga kepulangan suaminya. Mencarilah si suami apabila pulang, namun tidak menjumpainya, dan akhirnya ia dinamakan Sungai Jengka berdasarkan peristiwa ini.
MITOS 2
Adapun pada suatu hari, seorang perempuan asli telah terkena kerasukan yang amat teruk. Dia langsung tidak boleh menjejak tanah. Lantaran Tok Batin tempat tersebut berusaha untuk mengubatinya. Maka, dalam tafsirannya pesakit tadi perlu di bawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan. Lantaran sebatang sungai yang mengalir deras telah dipilih di tengah rimba. Apabila mencecahnya kaki pesakit tadi ke air, ternampaklah orang ramai satu kelibat di dalam air. Maka berkatalah orang ramai “Jin ke tu?”. Dari sinilah Jengka mendapat nama.
Peta Kawasan Jengka
(Sumber : http://www.felda.net.my, http://ms.wikipedia.org)
SEJARAH FELDA JENGKA 1
Felda Jengka 1 telah dibangunkan pada tahun 1966. Felda Jengka 1 merupakan salah satu daripada kawasan petempatan peneroka Felda yang berada di dalam daerah Maran dan terletak berhampiran dengan Felda Jengka 10, Felda Ulu Jempol, Felda Sg. Tekam dan Sg. Jerik. Bandar terdekat dengan Felda Jengka 1 ialah Bandar Jengka. Perjalanan dari Felda Jengka 1 ke Bandar Jengka adalah sejauh 20 km. Bandar Jengka adalah bandar tumpuan penduduk di Felda ini untuk membuat pelbagai urusan dan membeli belah.
Kawasan penempatan Jengka 1 terbahagi kepada 2 peringkat iaitu peringkat 1 dan perigkat 2. Secara keseluruhannya, penduduk di Felda Jengka 1 adalah seramai 2358 orang yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.Antara kemudahan yang terdapat di Felda Jengka 1 adalah masjid, surau, sekolah kebangsaan, sekolah agama rakyat, tabika KEMAS, rumah kakitangan Felda, dewan orang ramai, taman permainan, klinik desa, pondok polis, gelanggang permainan, padang awam dan lain-lain.
Felda Jengka 1, Maran, Pahang