Puding diraja ini terkenal di negeri Pahang terutamanya di daerah Pekan kerana asal-usul Puding diraja adalah hidangan pencuci mulut di dalam istana sahaja. Keistimewaan Puding diraja ini adalah cara hidangannya yang sama sekali berbeza dengan puding-puding lain yang kebanyakkannya bahan campuran telah sebati sebagai satu hidangan. Puding diraja pula dihidangkan dengan bahan-bahan yang berbeza di dalam satu bekas iaitu secara berlapisan dalam satu bekas, dimulakan dengan pisang lemak manis yang digoreng, kemudian jala atau dipanggil urat emas, ditaburkan sedikit buah prun, buah ceri, biji gajus dan akhirnya dicurahkan kuah kastard. Tumpuan bahan dalam puding ini adalah pisang, ia hanya menggunakan pisang jenis lemak manis sahaja. Jika menggunakan jenis pisang lain, pasti akan berlainan rasanya.